Untuk diriku masa depan, dan mungkin kau juga.. :
Aku yakin, sepertimana kau juga tahu bahawa kanvas kehidupan tidak pernah luntur daripada cabaran, kita akan terus menerus diduga dan diuji.
Ramai yang tidak betah. Hanyut dibawa arus yang mengalir laju. Tak berjaya mudik ke hulu sungai.
Justeru, kenapa tidak mungkin kita juga, menjadi mangsa seterusnya?
Air tidak pernah tenang, kawan. percayalah kataku!
asimilasi perlu berlaku. adaptasi juga penting.
memodenkan diri menuruti arus pascamerdeka kita ini.
dunia semakin global.
ilmu bertambah luas - petik jari saja kata orang
perihal sosialisasi dan kebudayaan berkembang.
semuanya terbuka.
tersangat lapang.
seperti langit, Maha Kuasa Tuhan, ciptaan Dia.
tapi sayang, ceritera dunia ini berlaku..
..sehingga
akal dan wahyu tiada timbang taranya lagi.
mungkin suatu hari nanti, kau akan tersesak lagi dalam udara ini.
Udara yang membuatkan kau semput, sukar bernafas. sehingga jantung, punca hati dan iman, tidak lagi mampu mendesak badan tidak berbuat keburukan.
Fikiran juga, dek kekurangan oksigen, tidak kuasa membuat pilihan yang benar.
Ujian akan terus berkunjung di daerah manusia,
seperti gulungan ombak yang tidak pernah henti-henti menghentam pasir pantai.
dan kita?
biarlah menjadi pokok hujan-hujan yang merimbun.
batangnya tegap.
akarnya banir.
dedaunnya menghimpun teduh.
berterusan membesar dan matang
biarpun kedudukannya tetap. tidak pernah berubah-ubah.
itu pokok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan